IPOH: Perak Film Office (PFO) akan mengadakan prebiu filem baharu, Hijabista Ballet terbitan syarikat filem Explosive Magic Sdn Bhd (EMAGIC) dan Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) di Auditorium Majlis Daerah Kampar, esok.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh PFO hari ini, filem “Hijabsta Ballet” merupakan sebuah filem kajian antara FDAM dan EMAGIC dalam kajian pelbagai faktor penerbitan filem melalui penceritaan.

Filem yang bakal ditayangkan pada Ogos 2017 itu mengisahkan perjuangan seorang penari ballet remaja yang tersepit di antara dua dunia – hijab dan ballet, serta iltizam beliau yang mahu menyatukan dua dunia yang berlainan itu.

Hijabista Ballet diarahkan oleh Syed Zukifli Syed Masir dan menampilkan gandingan pelakon baharu dan lama seperti Puteh Maimon, Denny, Alif Azeman, Afeera, Betty Benafe, Aman Graseka dan Aida Khalida.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak, Dato’ Nolee Ashilin Mohammed Radzi dijangka hadir menyaksikan tayangan prebiu filem tersebut.

Turut dijangka hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif KPerak, Mohd Nazaruddin Bin Mohd Yusoff, Yang Dipertua Majlis Daerah Kampar, Khairul Amir Bin Mohamad Zubir dan Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Negeri Perak, Hisham Bin Mat Hussin.

Prebiu filem itu akan diikuti oleh sesi Bicara Filem yang akan menyaksikan perbincangan dengan 180 orang penonton yang terdiri daripada ibubapa, pelajar sekolah dan IPT serta kakitangan jabatan dan agensi kerajaan.