IPOH: Kemalangan yang menyebabkan dua maut termasuk seorang rentung di Kilometer 201.1, Lebuh Raya Utara-Selatan arah selatan semalam dipercayai berpunca daripada tayar treler simen yang pecah lalu merempuh kereta dinaiki mangsa.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, bagaimanapun maklumat tersebut masih belum dipastikan dan punca sebenar masih dalam siasatan.

Katanya, pada awalnya identiti mangsa yang rentung di dalam kereta Proton Persona yang terlibat dalam kemalangan itu tidak dapat dipastikan kerana semua dokumen pengenalan diri termasuk kereta musnah akibat terbakar.

“Namun kita baru sahaja dapat mengenal pasti identiti mangsa berdasarkan nombor casis kereta iaitu seorang lelaki Melayu berusia 33 tahun dan telah menghubungi isteri mangsa untuk proses pengecaman,” katanya.

Dalam kemalangan pada pukul 8.35 malam semalam, pemandu treler berusia 29 tahun luka di tangan dan kaki manakala pemandu Proton Persona yang gagal keluar kerana tersepit ketika kenderaan itu terbakar, rentung di tempat duduknya.

Kemalangan itu turut mengakibatkan pemandu sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi, Mok Wai Kit, 29, dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang cedera parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian. – UTUSAN ONLINE