KUALA LUMPUR – Seperti biasa, ketibaan bulan Ramadan akan menyebabkan kawasan masjid bertukar meriah dengan kehadiran jemaah berkali ganda untuk menunaikan solat sunat Tarawih setiap malam.

Sikap mencari pahala yang tiada di bulan lain itu amat dituntut oleh Islam namun kadang-kadang pihak pengurusan masjid terlepas pandang dengan ruang tempat letak kereta yang terhad.

Ini kerana terdapat jemaah terpaksa meletakkan kenderaan secara ‘double park’ yang akan menyusahkan jemaah lain yang ingin pulang awal selepas selesai menunaikan solat sunat sebanyak lapan rakaat itu.

Menyedari masalah itu, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur mengambil langkah bijak walaupun mempunyai ruang parkir yang luas untuk mengurangkan kesesakan dan masalah ‘double park’ dalam kalangan jemaah.

Pihak pengurusan masjid tersebut telah membahagikan dua kategori letak kereta iaitu Team 20 Rakaat dan Team 8 Rakaat.

Ini membolehkan dan jemaah boleh meletakkan kenderaan mereka mengikut jumlah rakaat yang akan dilaksanakan.

Pembahagian itu mendapat pujian netizen di laman sosial yang berpendapat pengasingan mengikut rakaat itu sangat bijak dalam memastikan kelancaran trafik.

Rata-rata mereka berkata, idea itu mengatasi masalah jemaah yang hanya buat solat sunat Tarawih lapan rakaat tetapi kereta mereka dihalang oleh orang lain yang masih belum selesai.

Ujar mereka, pengasingan ini sebenarnya tindakan bijak dalam mengawal kesesakan selain mengelakkan masalah di antara jemaah. – MalaysiaGazette