TAIPING: Pemilik sebuah kedai emas di Jalan Pasar di sini berputih mata dengan anggaran kerugian lebih RM1 juta apabila sekumpulan empat penjenayah melarikan barang kemas dan wang tunai yang disimpan dalam bilik kebal kedai berkenaan pada pagi Jumaat.

Ketua Polis Daerah Taiping,Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata kesemua penjenayah terbabit dipercayai menebuk bilik kebal untuk mengambil barangan berharga itu sekitar jam 1 hingga 7 pagi tadi.

Menurut beliau, kesemua penjenayah itu dipercayai masuk melalui bumbung kedai emas sebelum memecah masuk ke bilik kebal berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kesemua penjenayah menggunakan alat grinder untuk menebuk bilik kebal berkenaan sebelum melarikan kesemua barang berharga di dalamnya,”katanya.

Jelasnya, pihaknya sedang mengenalp asti kesemua empat penjenayah yang menggunakan topeng muka melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berkenaan.

Kam berkata pihaknya tidak boleh membuat sebarang spekulasi mengenai insiden berkenaan kerana tiada saksi di tempat kejadian waktu ianya berlaku.

“Bagaimanapun, pihak kami akan melakukan siasatan terperinci secara lanjit dan akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,”katanya lagi.