IPOH: Technology, Education & Career (TEC) yang telah dianjurkan di Universiti Teknologi Petronas (UTP) sejak 2001 kembali lagi tahun ini.

Eksekutif Jabatan Promosi dan Kempen TEC 2018 UTP, Mohamad Nashriq Hamzah berkata, TEC18 akan dianjurkan di UTP pada 4 dan 5 Julai 2018 dan terbuka kepada masyarakat umum.

Menurut beliau, sasaran jumlah kehadiran pengunjung pada tahun ini adalah seramai 6,000 orang.

“Pengunjung juga berpeluang untuk mengakses hotel yang berdekatan dan pelbagai pusat beli belah sebagai daya tarikan dan kemudahan buat semua,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini.

TEC ialah satu inisiatif daripada pelajar kepada pelajar untuk menghubungkan graduan berpotensi serta para pencari kerja dengan dunia pekerjaan, bukan sahaja syarikat tempatan, malah juga syarikat multinasional.

Sejak pelancaran TEC pada tahun 2001, hampir 70 syarikat terkemuka telah terlibat dalam program itu dengan purata kehadiran pengunjung adalah seramai 5,000 orang pada setiap tahun.

Antara pencapaian terbesar sehingga ke hari inidapat dilihat pada TEC14, apabila telah diisytiharkan sebagai Pameran Kerjaya Fokus Sektor (PKFS) yang terbesar di Malaysia oleh Talent Corp.

TEC juga menjadi wadah penghubung kepada Badan Bukan Kerajaan (NGO) di seluruh Malaysia di samping menyediakan platform kerjaya kepada pelajar meskipun dalam tahun pengajian mereka.

Oleh itu, para pelajar berpeluang untuk menyerahkan resume mereka dan turut serta dalam sesi temuduga terbuka pada hari tersebut.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut, boleh layari laman web www.utptec.com dan akaun rasmi media sosial tecutp di media sosial seperti facebook, instagram dan twitter.