SERI ISKANDAR: Teknologi, Hiburan, Reka Cipta (TED Talk) membantu komuniti untuk terus berkembang dalam usaha menjadikan Perak sebuah hab  idea yang sewajarnya disebar ke seluruh dunia, kata Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Teknologi Petronas (UTP), Prof Madya Dr Nor Hisham Hamid.

Beliau berkata, universiti itu memainkan peranan penting dalam merintis dan menganjurkan dengan berterusan sesi TED Talk di UTP pada setiap tahun.

“Banyak usaha dilakukan untuk  mewujudkan ruang dan peluang bagi pelajar UTP mengembangkan kreativiti mereka, memperluaskan  imaginasi dan memupuk bakat serta keupayaan mereka.

“Pihak  universiti berusaha untuk mewujudkan pelbagai peluang untuk mendidik dan menyemai nilai, pengetahuan, kemahiran hidup, sahsiah dan sikap positif,” katanya pada majlis perasmian TED @ UTP oleh Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir di sini pada Sabtu.

Program itu merupakan sebahagian daripada Temasya Idea Perak yang berlangsung seminggu bermula pada 6 Sept.

Ia diadakan bersempena  Dialog Pangkor 2017 selama dua hari pada 11 dan 12 Sept. Enam belas pakar daripada pelbagai bidang, seperti ahli bioteknologi, pereka cipta, ahli teknologi dan pelawak terlibat dalam acara sehari itu. —-BERNAMA