IPOH: Exco kerajaan negeri Perak yang baharu, Prof Dr Abdul Aziz Bari menyatakan komitmen untuk memastikan setiap agensi yang berada di bawah portfolionya bebas daripada pengaruh politik atau menjadi agen kepada mana-mana parti.
Beliau yang merupakan Exco Pendidikan, Sains, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Penerangan itu berkata, ia bagi memastikan setiap agensi pelaksana yang diwujudkan itu dapat menjalankan tugas hakiki mereka secara profesional dan adil.
“Sebagai contoh di bawah Pendidikan ini adalah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), walaupun ia merupakan agensi pihak persekutuan namun mereka ini beroperasi sebagai pihak berkuasa negeri.
“Ada beberapa aspek yang kita perlu pastikan ia tidak lagi dipolitikkan seperti dilakukan sebelum ini, kerana persepsi masyrakat memang begitu.
“Seolah-olah PPD ini merupakan mata dan telinga UMNO, saya tak nak begitu, setiap agensi dibiayai rakyat itu perlu betul-betul memberi khidmat mengikut objektif penubuhan mereka dan bukan menjadi sarang atau agenda parti pemerintah,” katanya.
Bagi bidang Alam Sekitar pula, beliau memberitahu kerajaan negeri komited untuk memasitkan segala undang-undang atau peraturan yang ditetapkan sebelum ini dapat dilaksanakan selain beberapa inisiatif baharu yang akan diperkenalkan.
“Ada beberapa insiatif mungkin akan kita perkenalkan dalam usaha kita menjaga alam sekitar yang merupakan satu khazanah, tapi agak terlalu awal untuk diumumkan insiatif-inisiatif tersebut, tetapi kita sudah pun ada perancangan.
“Bagi portfolio penerangan pula, saya juga telah berjumpa dengan agensi-agensi terlibat dan beberapa perubahan akan dilakukan kerana kita beranggapan pada pilihan raya lalu mereka tidak mempunyai maklumat betul atau mencukupi.
“Sebagai agensi dibawah penerangan sudah tentu perkara ini tidak boleh berlaku kerana rakyat betul-betul mengharapkan agensi-agensi ini untuk menyampaikan maklumat, penerangan kepada mereka, jadi ini juga salah satu fokus saya,” ujar beliau.