KUALA TERENGGANU: Dua tekong bot warga Vietnam mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memberi suapan bernilai RM1,000 dan RM950 kepada pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Tertuduh, Tran Van Kiet, 47, dan Tran Van Toan, 42, mengangguk faham sebelum mohon dibicarakan ketika pertuduhan mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, Van Kiet didakwa memberi suapan wang tunai RM1,000 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Leftenan Dya (M) Mohd Shahril Samsudin di 77 batu nautika dari Kuala Terengganu, jam 8 pagi pada 19 Mei lalu.

Suapan itu sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan undang-undang terhadapnya kerana melakukan aktiviti menangkap ikan atau cuba menangkap ikan di perairan Malaysia yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 15 (1)(a) Akta Perikanan 1985.

Sementara itu, Van Toan pula didakwa melakukan kesalahan sama dengan memberi suapan wang tunai RM950 kepada seorang ejen Kerajaan Malaysia iaitu Leftenan Muda (M) Ahmad Syahid Mohd Rahim di 73 batu nautika dari Kuala Terengganu, jam 7.16 pagi pada 19 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima ganda jumlah suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pertuduhan terhadap dua tertuduh dibacakan oleh jurubahasa Vietnam dari Istana Kehakiman, Salim Salleh.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 12 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan – berita harian