RAMAI di antara kita yang mungkin tidak pernah melihat sungai yang lompong (berlubang atau berongga) di tengah-tengahnya?

Pada kiraannya, ada yang beranggapan perkataan telaga hanya sinonim dengan Langkawi, Kedah iaitu Telaga Mahsuri yang terkenal dengan lagendanya.

Namun tidak kurang pentingnya ialah sejarah Telaga Gergasi yang terletak di Kampung Jalan Baru, Selama, Perak.

Bentuknya yang seakan-akan telaga disifatkan sebagai gergasi kerana luas bulatannya yang besar dan mengumpulkan air dari sungai di atasnya.

Secara logiknya punca sungai di sini lompong ada kaitan dengan aktiviti pengumpulan bijih timah semasa pendudukan British di Tanah Melayu sekitar tahun 1936 dan tinggalan teknologi kuasa asing itu berjaya menghasilkan aura pelancongan kepada pengunjung.

Mengimbas asal usul Selama yang sebelumnya dikenali dengan Kampung Selamat, Abdul Karim Raja Aman Shah merupakan individu yang bertanggungjawab membuka Selama pada 22 Januari tahun 1870.

Antara fungsinya Telaga Gergasi suatu ketika dahulu ialah mengawal kadar pengaliran air dari Sungai Ijok ke Tasik Bukit Merah.

Bunyi deras air yang mengalir laju dari sungai ke telaga itu sememangnya sesuai dengan halwa telinga bagi mereka yang rindukan suasana tenang dengan keunikan di sekitarnya, jika bernasib baik anda berpeluang melihat pelangi muncul di permukaan airnya.

Difahamkan telaga sedalam 100 kaki ini akan mengalirkan air dari sungai yang berada di atasnya sambil melalui saliran bawah tanah sebelum bercantum dengan sungai Ijok, yang akhirnya mengalir ke Tasik Bukit Merah.

Mungkin tidak mahu terikat dengan cara konvensional seperti mendulang untuk mendapatkan hasil bijih timah, pihak British mencipta telaga itu dengan menggunakan tolakan arus sungai sebagai penyelesaian.

Dalam pada itu tujuan telaga berkenaan diwujudkan adalah bagi menyimpan air dan mengairi tanaman padi yang terdapat di kawasan berhampiran, pendek kata ia juga berfungsi seperti tali air yang ada di tempat-tempat lain.

Mungkin masih ramai yang tidak sedar dengan keunikan yang ada di sini, atas faktor itulah yang mendorong pihak Majlis Daerah Selama (MDS) untuk memperkenalkan lokasi tersebut kepada orang ramai khususnya masyarakat di Perak.

Pengunjung dari luar Perak juga berpeluang melihat dan mendekati peninggalan sejarah yang sinonim dengan Selama, di samping menjadikan Telaga Gergasi sebagai satu lagi senarai tempat yang wajib dikunjungi.