IPOH: Pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negeri ini diminta menyerahkan senarai pembangunan struktur telekomunikasi bagi mengenal pasti jumlah menara yang beroperasi secara haram di negeri ini sebelum hujung tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi sekiranya tidak menyerahkan senarai berkenaan.

“Tindakan itu termasuk mengeluarkan notis dan penguatkuasaan terhadap pembangunan struktur telekomunikasi tersebut,” katanya semasa menjawab soalan lisan Loh Sze Yee (DAP-Jalong) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 Perak di sini, hari ini.

Hasnul berkata, sejak enam bulan lepas, pihaknya telah mengadakan beberapa pertemuan dengan syarikat telekomunikasi bagi mendapatkan maklumat mengenai pembinaan menara haram telekomunikasi yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.

“Difahamkan, apabila pihak telco menghantar permohonan pembinaan baharu, mereka perlu menyerahkan kepada dua syarikat ‘deployment partner’ yang dilantik oleh KPerak dan syarikat tersebut gagal melaksanakan pembinaaan seperti yang diminta oleh pihak telco, maka berlakulah banyak pembinaan menara haram,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, lokasi penentuan pembinaan menara telekomunikasi adalah berdasarkan kawasan yang mempunyai masalah liputan selular.

“Maklumat tersebut yang diperolehi melalui aduan orang awam ataupun melalui ujian kualiti liputan yang dijalankan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM),” tambahnya.

Selain itu, katanya, lokasi menara yang akan dibina bergantung kepada pelbagai faktor teknikal seperti ketersediaan ‘line offside’ rangkaian sedia ada dan bekalan elektrik kekal serta kemudahan muktamad bagi pembinaan sesuatu menara akan ditentukan oleh PBT yang berkaitan.

Oleh yang demikian, kata beliau, pihak SKMM memohon kerjasama daripada Adun supaya dapat menyalurkan maklumat mengenai masalah liputan telekomunikasi di kawasan masing-masing kepada SKMM agar dapat dijadikan panduan merangka pembangunan pada masa hadapan.

Hasnul berkata, pembinaan menara telekomunikasi di kawasan bandar, luar bandar, perumahan, sekolah atau rumah ibadat dipantau berpandukan kepada garis panduan pembinaan menara dan struktur pemancar telekomunikasi yang telah ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).