GOPENG: Syarikat telekomunikasi berkaitan kerajaan, Telekom Malaysia (TM) hari ini menyampaikan sumbangan kewangan kepada 10 badan kebajikan di negeri ini sempena meraikan pencapaian satu juta pelanggan Unifi di Malaysia.

Pengurus Besar Negeri TM Perak, Badrul Hisham Bahari berkata, ia merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meningkatkan kesejahteraan masyarakat menerusi penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) di Perak.

IMG-20170818-WA0031 “Dengan kejayaan yang dicapai, kami mahu berkongsi keuntungan dengan masyarakat dan Ketua Pegawai Eksekutif TM membuat keputusan untuk menyumbangkan nilai yang sama dengan jumlah pelanggan TM sedia ada.

“Sebanyak 100 badan kebajikan di Malaysia terpilih untuk menerima sumbangan ini dan setiap mereka menerima sumbangan sebanyak RM 10,000. Daripada jumlah itu, 10 badan kebajikan akan dipilih dari setiap negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Penyerahan Sumbangan Telekom Malaysia Sempena Meraikan Pencapaian Sejuta Pelanggan Unifi di Pertubuhan Anak Yatim/Miskin Dahikmah, Kampung Sungai Itek di sini.

Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua Eksekutif KPerak INC, Mohd Nazaruddin Mohd Yusoff.

Dalam pada itu, Nolee menyambut baik usaha TM itu dan menjelaskan, jumlah sumbangan yang diterima itu bakal menghidupkan pelbagai aktiviti selain menampung perbelanjaan badan kebajikan berkenaan.

“Komitmen dan usaha TM ini adalah contoh yang wajar dipraktikkan oleh semua, sejajar dengan tanggungjawab sosial yang ingin dicapai,”ujarnya.

Antara badan kebajikan yang menerima sumbangan TM di Perak ialah Pertubuhan Anak-Anak Yatim/Miskin Dahikmah, Yayasan Kemajuan Islam Darul Ridzuan (Kadir), Pusat Kanak-Kanak Spastik, Multiracial Reverted Muslims dan Pertubuhan Kebajikan Kediaman Abu Nur.