IPOH: Rungutan mengenai masalah sistem telekomunikasi di beberapa buah daerah di Perak masih berlarutan sehingga menyebabkan kesukaran komunikasi dua hala.

Perkara itu dibangkitkan Datuk Rashidi Ibrahim (BN-Pasir Panjang) yang menggesa kerajaan negeri supaya melihat perkara itu secara serius, selain mahu liputan sistem telekomunikasi dipertingkatkan.

“Perkara ini menjurus kepada era digital di mana penggunaan sistem telekomunikasi sangat mustahak kepada rakyat.

“Seperti juga masalah yang sudah berlarutan di daerah Manjung dan mukim Lekir kerana tiada liputan sewajarnya untuk sistem telekomunikasi ini,” ujar Rashidi semasa sesi perbahasan di Sidang DUN ke-13 di Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Sementara itu, masalah yang sama turut dipersetujui oleh Aznel Ibrahim (BN-Pengkalan Hulu) apabila beliau turut mengutarakan isu tersebut.

“Masalah ini sudah begitu lama dan beberapa kali diajukan dalam sidang DUN sebelum ini. Di DUN Pengkalan Hulu contohnya, perjalanan dari Kuala Kangsar ke Pengkalan Hulu sejauh satu jam tiga puluh minit banyak kawasan tiada liputan komunikasi.

“Kadangkala kami terpaksa berhentikan kenderaan dahulu di sesebuah lokasi yang ada liputan untuk sebarang panggilan telefon barulah boleh teruskan perjalanan ke daerah Pengkalan Hulu,” kata Aznel.