IPOH: Temasya Idea Perak (PFOI) bakal dijadikan acara tahunan sebagai usaha untuk mengumpul idea dan pandangan daripada segenap lapisan rakyat Perak dalam membangunkan negeri ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Beliau berkata, program PFOI yang berlangsung selama seminggu bermula 6 September lalu telah berjaya mengumpulkan lebih 5,000 idea daripada pelbagai kaum, kumpulan dan latar belakang.

“Pada mulanya, ramai yang mengkritik temasya idea ini tetapi mereka tidak tahu bahawa ia adalah mengenai idea dan suara anak Perak, suara rakyat, suara anak muda dan suara mereka yang bergelar profesional.

“Kita akan meneruskan temasya ini dan akan menjadikannya acara tahunan tetapi kita perlu mengkaji dahulu apakah bidang-bidang yang perlu ditambahbaik,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup Ipoh Youth Forum 2017 (IYF17) di sini, hari ini.

PFOI yang pertama kali dianjurkan tahun ini adalah program dan aktiviti prelude kepada Pangkor International Development Dialogue (Dialog Pangkor) 2017 yang akan berlangsung pada 11 dan 12 September ini di Pusat Konvensyen Amanjaya, Meru Raya dekat sini.

IYF2017 2

Dr Zambry berkata, acara dan aktiviti sepanjang PFOI termasuklah persidangan, syarahan dan bengkel selain jualan dan pameran serta acara santai yang menyeronokkan.

Beliau berkata, kesemuanya dirancang bagi mengisi jadual para peserta PIDD yang hadir lebih awal di samping bertujuan melibatkan setiap lapisan masyarakat di negeri ini.

Katanya, PFOI juga telah berjaya mengumpulkan peserta-peserta terutama dari golongan belia dari dalam negara dan juga luar negara.

Dalam ucapan perasmian penutup Forum Belia Ipoh 2017, Dr Zambry berkata, program itu bertujuan untuk menyelaraskan aktiviti dan interaksi antara golongan belia dan para pemimpin negeri.

“Dalam konteks negeri, kita akan terus bekerja bersama-sama, mungkin ada yang menjadi penghalang sebelum ini untuk mendekati pemimpin, tetapi seperti saya sebutkan, biarkanlah ia seperti biasa dan cara kita berinteraksi kena berbeza; kita tak boleh lagi ada protokol,” katanya.

Program IYF17 adalah sebahagian daripada Temasya Idea Perak yang akan berakhir pada 12 September ini, dianjurkan oleh Institut Darul Ridzuan (IDR) dan pelbagai rakan usahasamanya bersempena Dialog Pangkor 2017 yang bermula 11 September ini.