IPOH: Temasya Idea Perak atau Perak Festival of Ideas (FoI) akan diteruskan dalam setiap program Permukiman Menteri Besar yang diadakan di setiap daerah bagi memastikan ia tidak terhad semasa penganjuran Dialog Pangkor.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan itu sama seperti program Transformasi Nasional 2050 (TN50) yang dijalankan pada setiap program permukiman di peringkat daerah.

“Temasya Idea ini akan berterusan dan diadakan setiap tahun di program permukiman seperti TN50.

“Menerusi landasan ini, kita menerima pelbagai idea yang dicetuskan oleh orang muda yang akan ditapis dan diperinci sebelum dimasukkan ke dalam dasar dan kerangka Gagasan Amanjaya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (BN-Slim) pada Sidang Dewan Undangan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Dr. Zambry berkata, sehingga 30 Oktober lalu, sebanyak 2,700 idea berjaya dikumpulkan dan dianalisis untuk melihat potensi ia direalisasikan di peringkat negeri mahu pun Kerajaan Persekutuan.

“Pengumpulan idea tidak terhenti apabila sudah mencapai 10,000 idea. Walaupun tamat tempoh, idea-idea yang menarik dikelaskan kepada lima bahagian seperti ekonomi dan pekerjaan, memperkenalkan aplikasi baru online serta cadangan diwujudkan universiti sukan,” katanya.

Dalam pada itu, semasa menjawab soalan tambahan yang dikemukakan oleh Howard Lee Chuan How (DAP-Pasir Pinji), Menteri Besar menjelaskan, kerajaan negeri sentiasa turun ke lapangan untuk mendekati rakyat selain menerima cadangan untuk kebaikan bersama.

“Kita memang ada berjumpa dengan golongan muda di setiap program termasuk di perpustakaan dan sebagainya; persekitaran yang baik adalah menerusi cadangan yang membina dan bukannya menjatuhkan atau bersifat memusnahkan,” katanya.