IPOH: Hujan yang sekejap renyai, sekejap lebat tidak menghalang warga kota memeriahkan pelancaran Temasya Idea Perak yang berlangsung di Bulatan Amanjaya dekat sini, sebentar tadi.

Hampir 1,000 warga kota dan penduduk berdekatan yang berlindung di bawah khemah, tidak berganjak mendengar mesej yang disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Dalam ucapannya yang santai namun penuh bersemangat, Dr Zambry berkata, temasya idea itu dilaksanakan untuk kebaikan dan kepentingan rakyat Perak.

Katanya, setiap perjalanan menuju kejayaan bermula dari satu niat yang jelas yang diterjemahkan melalui wawasan dan misi yang seiring pentingnya.

“Pada ketika ini, ada sesuatu yang luar biasa dilakukan oleh rakyat Perak; sempena temasya ini kita telah merancang lebih 70 acara dan program, dengan hampir separuh daripadanya telah pun dilangsungkan.

“Anda boleh melihat bagaimana rakyat kita menulis idea dan harapan mereka yang pelbagai resamnya.

“Kita mahu mendengar daripada rakyat Perak bagaimana caranya untuk membangunkan dan menggerakkan perkembangan negeri ini.

“Itulah sebabnya kita menganjurkan temasya idea ini,” katanya di sini, lewat malam Jumaat.

Dr Zambry berkata, ada yang bertanya apa hasil temasya idea itu kepada pembangunan dan ekonomi negeri Perak.

Beliau menjelaskan, sebagaimana yang dibuktikan melalui penganjuran festival seumpama itu di beberapa bandar di luar negara, ia berjaya mencetuskan pertumbuhan dan menarik pelaburan yang berjaya.

Katanya, menerusi temasya itu, ramai pakar dan peserta dari luar negara berkunjung ke negeri ini termasuk Menteri, penerima Hadiah Nobel, bekas angkawasan dan presiden negara.

“Semua ini bukan untuk saya, bukan untuk kami yang berada di atas pentas ini tetapi ia adalah untuk rakyat Perak supaya negeri dan rakyat Perak dikenali di seluruh dunia,” katanya.

Mengambil contoh perubahan di Bulatan Amanjaya khususnya, Dr Zambry berkata, transformasi kawasan kosong yang kini berfungsi sebagai taman rekreasi awam yang menjadi tumpuan itu bermula dari sebuah idea.

Katanya, itulah niatnya untuk menyediakan kemudahan kepada rakyat, demi kepentingan rakyat dan negeri.

“Daripada sebuah idea, kawasan ini menjadi tumpuan. Maka ia menjadi tanggungjawab rakyat untuk menjaganya dengan baik.

Ucapan Dr Zambry terhenti seketika apabila seorang hadirin secara tiba-tiba naik ke pentas dan menyampaikan sejambak bunga kepada beliau.

“Terima kasih saya ucapkan atas sokongan semua dan teruskan bekerja sebagai satu pasukan untuk menjayakan cita-cita rakyat Perak,” kata Menteri Besar mengakhiri ucapannya.