TEMOH: Temoh yang dikatakan menjadi pekan mati selepas pembinaan Lebuh Raya Utara Selatan, kini mempunyai masa depan yang lebih cerah dengan pelbagai pembangunan semula.

Selain pembinaan Pekan Kecil Temoh, pembangunan kawasan rekreasi Tasik Temoh dengan kos RM5 juta dan jalan baru Kg Batu Masjid – Banir yang bernilai RM14 juta, terdapat beberapa lagi pembangunan baharu yang sedang dirancang.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, antara rancangan itu ialah pembinaan Kolej MARA dan rumah kos rendah yang dicadangkan kepada kerajaan negeri bakal merancakkan lagi pembangunan pekan kecil Temoh.

Menurut beliau, kerajaan negeri telah mululuskan kira-kira 50 ekar tanah yang terletak berhampiran Tasik Temoh bagi tujuan pembinaan kolej pengajian bahasa untuk pelajar ke luar negara.

Selain itu, tujuh ekar lagi diperuntukkan untuk perumahan kos rendah bagi membolehkan rakyat berpendapatan rendah memiliki kediaman sendiri pada harga mampu milik.

“Perbincangan awal telah dibuat bersama MARA dan secara dasarnya, persetujuan telah dicapai, kita hanya tunggu peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.

“Untuk cadangan rumah kos rendah pula, belum ada sebarang kelulusan, namun kita akan kemukakan kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak agar dapat dibangunkan kediaman dengan kos kira-kira RM70,000 seunit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis perasmian Dataran Amanjaya Temoh yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, di sini, hari ini.

Samsudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning berkata, perancangan Pekan Kecil Temoh disusun secara strategik bermula dari pembinaan jalan pintas dari kawasan Air Kuning ke Kampung Batu Masjid dan pelebaran laluan Tapah ke Temoh.

Katanya, ia disusuli dengan pembangunan Tasik Temoh yang dijadikan pusat rekreasi dengan pembinaan pejalan kaki, trek joging dan taman permainan kanak-kanak dengan peruntukan RM5 juta.

“Selepas ini, Temoh tidak lagi menjadi pekan mati, sebaliknya akan menjadi tumpuan penduduk, bukan sahaja daripada Tapah, tetapi juga dari kawasan sekitar,” kata beliau.