KUALA KANGSAR – Datin Mastura Yazid yang dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar menyifatkan pemilihannya sebagai amanah yang cukup besar bagi meneruskan legasi Allahyarham suaminya, Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Sambil berterima kasih atas kepercayaan pucuk pimpinan BN, Mastura bertekad untuk melaksanakan amanah yang diberikan sebaik mungkin sebagai kesinambungan kepada apa yang telah dirintis oleh Allahyarham.

“Ini adalah amanah berat yang diberikan kepada saya kerana ia bukan hanya sekadar menggalas tanggungjawab dan kepercayaan parti kepada saya tetapi kerusi Parlimen Kuala Kangsar sebelum ini disandang oleh arwah suami saya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan melalui rakaman video selepas pengumumannya sebagai calon.

Pemilihan Mastura, 55, diumumkan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di hadapan kira-kira 2,000 penyokong BN di Bilik Gerakan BN PRK P067 Kuala Kangsar di Safari Resort di sini, petang Sabtu.

Mastura berkata, beliau sekadar penyambung kepada perjuangan serta memikul amanah untuk meneruskan khidmat bakti arwah suaminya kepada orang Kuala.