BAGAN DATUK: Kerajaan telah menetapkan tempoh baru bagi pemohonan visa pelajar asing daripada 30 hari sebelum ini kepada 14 hari.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, ia adalah hasil mesyuarat jawatankuasa tertinggi mengenai pengambilan pelajar asing yang lalu bagi melancarkan urusan pembelajaran mereka di sini.

Katanya, penambahan kakitangan Imigresen akan dilakukan bagi melancarkan urusan visa tersebut.

“Saya telah memberikan sasaran baru supaya visa pelajar asing dikeluarkan dalam tempoh 14 hari, oleh kerana terdapat kira-kira 4,000 permohonan visa pelajar asing yang belum diproses dan berlaku kelambatan disebabkan oleh permasaalahan oleh pihak EMGS (Education Malaysia Global Servises), universiti, kolej sendiri serta Jabatan Imigresen.

”Maka saya telah mengarahkan seramai 10 orang pegawai-pegawai tambahan diletakkan khusus untuk menangani padlock permohonan pelajar-pelajar asing bagi memperolehi visa,” katanya

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan bantuan persekolahan kepada 2300 pelajar sekitar Parlimen Bagan Datuk di Sekolah Menengah Sains Bagan Datuk, pada Sabtu.

Menurut Ahmad Zahid, urusan visa tersebut bukan sahaja tertakluk kepada pelajar, malah turut digunapakai bagi ahli keluarga mereka yang berhasrat untuk tinggal di Malaysia sementara waktu.

Malah, tambahnya, kerajaan juga telah bersetuju untuk memberikan visa sementara kepada pelajar dan keluarga mereka di masa akan datang, sementara menunggu urusan pemprosesan visa mereka.

Bagaimanapun, kata beliau, segala urusan berkenaan masih tertakluk kepada akta keselamatan dalam negara.

Katanya, pemohonan akan dirujuk kepada Interpol dan sistem pemeriksaan penumpang (APSS) bagi memastikan mereka tidak mengancam keselamatan negara.

Ahmad Zahid berkata, tahun lalu sahaja, pelajar asing yang belajar di dalam negara ini telah menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara tidak kurang daripada RM5 billion hasil pertukaran mata wang asing mereka.

“Kemasukan pelajar asing dilihat bukan sahaja memberi pertumbuhan ekonomi negara, malah ia adalah merupakan satu pengiktirafan tahap pengajian tinggi Malaysia di mata dunia,” ujarnya.

Terdahulu beliau menyertai program FitPerak@Bagan Datuk yang turut disertai kira-kira 2,000 belia dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.