IPOH: Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau tiada masalah untuk memberi komitmen menghadkan perkhidmatan Menteri Besar kepada hanya dua penggal.

Menurut beliau, Menteri Besar di dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan tidak bekerja bersendirian, sebaliknya sebagai satu pasukan dengan kepimpinan lain.

Oleh itu, kata beliau, sekiranya Menteri Besar bertukar, pasukan itu akan meneruskan segala dasar dan polisi demi kepentingan dan kebajikan rakyat.

Malah, beliau berpendapat, jika ada keikhlasan dan kesungguhan, sebenarnya satu penggal pun memadai untuk bersama-sama membantu memajukan negeri dan negara.

“Saya fikir kalau kita bekerja kuat, bekerja sungguh-sungguh dan segala polisi yang baik, tak kira daripada siapa, kita teruskan jangan kata dua penggal, satu penggal memadai jika kita bekerja dengan penuh ikhlas kerana Allah dan buat dengan sungguh-sungguh tanpa mengamalkan ketirisan, budaya mungkar, budaya rasuah dan sebagainya,” katanya.

Beliau ditemui selepas mengiringi Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Islam di Institut Tadbiran Islam Perak di Ipoh, pada Jumaat.

Pada Khamis, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-11 berkata, tempoh perkhidmatan ja­watan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sebagai langkah segera yang dilaksanakan bagi mereformasikan sistem politik.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada keutamaan dan penekanan baharu dalam mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.

Mengenai dakwaan kononnya beliau sering tidak hadir pada program yang dijadualkan, Ahmad Faizal berkata, masalah itu berlaku apabila pihak penganjur tidak mendapatkan persetujuan beliau terlebih dahulu.

“Saya fikir mungkin kerana baru, ramai orang yang teruja nak berjumpa agaknya, jadi dia jemput dan belum saya bagi kepastian, dia dah letak gambar, poster naik dan sebagainya.

“Maka tanpa hendak mengecilkan kecil hati orang, saya hantar wakil kerana kita tak dapat nak pergi kerana kita tak bagi persetujuan pun,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui memang ada program yang beliau terpaksa tidak hadir dan menghantar wakil, kerana ada perkara yang lebih penting.

“Sekarang ini kita begitu tergesa-gesa dalam membuat berbagai usaha untuk memajukan negeri, jadi saya ambil pendekatan untuk memberi fokus kepada tugasan, terutama sekali untuk bekerjasama dengan kementerian di peringkat persekutuan untuk memastikan projek-projek pembangunan di negeri Perak ini dapat diteruskan.

“Jadi itu yang saya utamakan dan mungkin kerana itulah ada beberapa, saya fikir tak banyak, tetapi saya dapati yang jadi masalah apabila saya tak beri kepastian tetapi mereka telah umumkan bahawa saya akan hadir,” jelasnya.