KUALA LUMPUR: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) belum memutuskan tempoh permulaan pelaksanaan potongan pinjaman kepada graduan ijazah sarjana muda kelas pertama daripada isi rumah berpendapatan rendah (B40).

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan, berkata pihaknya sedang mempertimbangkan sama ada mahasiswa sedia ada yang bakal menamatkan pengajian dengan keputusan kelas pertama, masih dapat menikmati potongan pinjaman itu atau sebaliknya.

“Potongan pinjaman yang disebut dalam Belanjawan 2019 itu bermaksud pengecualian bayaran balik seperti yang dilaksanakan ketika ini.

“Bagaimanapun, kami belum memutuskan bagaimana ia dilaksanakan, iaitu sama ada ia bermula awal tahun depan atau akhir 2019.

“Selepas diputuskan, kami akan mengumumkannya bersama mekanisme bagi beberapa perkara lain berkaitan PTPTN yang diumumkan dalam Belanjawan 2019,” katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Ketika pembentangan Belanjawan 2019 pada Jumaat lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan potongan pinjaman PTPTN akan dilaksanakan hanya kepada pelajar daripada isi rumah berpendapatan rendah atau B40 yang mendapat keputusan kelas pertama.

Susulan pengumuman itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menyifatkan keputusan memberikan pengecualian itu hanya kepada graduan B40 adalah tidak betul serta mengabaikan sejumlah golongan pertengahan (M40) yang berusaha mendapatkan ijazah kelas pertama sejak beberapa tahun lalu.

Wan Saiful berkata, secara asasnya, pengecualian bayaran balik bagi peminjam yang mendapat ijazah sarjana muda kelas pertama, hanya dapat diberikan kepada golongan B40 kerana kerajaan berdepan kekangan kewangan, namun penjelasan lanjut akan diberikan kemudian.

Sehingga 30 September lalu, seramai 52,590 peminjam PTPTN sudah menikmati pengecualian bayaran balik, membabitkan jumlah pinjaman sebanyak RM1.6 bilion – berita harian