KUALA LUMPUR : Perkhidmatan e-panggilan (e-hailing) menggunakan motosikal akan menjalani tempoh percubaan selama enam bulan bermula Jan depan, kata Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

Katanya, syarikat terlibat telah membuat permohonan dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat dan perlu memenuhi beberapa peraturan seperti berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Katanya, penunggang motosikal yang ingin melibatkan diri dengan industri itu perlu berumur sekurang-kurangnya 18 tahun dan mempunyai lesen penuh selain kawasan yang dibenarkan hanya di Lembah Klang.

Loke berkata, pihaknya turut menetapkan syarat melarang penumpang berumur 18 tahun ke bawah demi keselamatan dan mengelakkan berlakunya eksploitasi kanak-kanak.

“Mereka terlibat juga perlu memakai tanda pakaian dan di motosikal kena ada tanda yang jelas dan hendaklah mematuhi semua peraturan jalan raya.

“Dalam tempoh enam bulan kita harap dapat mengumpul data-data dan dapat melihat bagaimana konsep ini dapat diteruskan.

“Apabila konsep ini dibenarkan, kita tidak terhad kepada satu syarikat. Ini bukan untuk Gojek sahaja tetapi terbuka kepada mana-mana syarikat,” kata beliau pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah beliau, sekalipun peluang untuk syarikat pengendali tempatan dibuka secara luas tanpa had untuk mencuba perkhidmatan tersebut, Gojek yang terkenal di Indonesia juga tidak dihalang menawarkan perkhidmatannya selagi ia memenuhi syarat.

“Apabila konsep ini dibenarkan kita tidak terhad kepada satu syarikat ini bukan untuk Gojek sahaja terbuka kepada mana-mana syarikat

Gojek boleh masuk kalau berdaftar di Malaysia mereka boleh pohon tetapi terbuka kepada semua syarikat tempatan yang lain,” katanya.

Loke berkata, syarikat pengendali digalak mengambil insurans untuk penumpang dan penunggang.

Katanya,selepas tempoh enam bulan, kerajaan akan menilai semula tahap keberkesanan perkhidmatan itu.

Sekiranya kerajaan berpuas hati, maka pindaan terhadap undang-undang berkaitan akan dibentangkan di Dewan Rakyat untuk kelulusan sebelum ia dibawa ke peringkat Dewan Negara.

Loke turut menyeru semua pihak agar tidak terlalu bersikap negatif dengan konsep perkhidmatan berkenaan kerana ia masih berada di peringkat percubaan.

“Kalau konsep ini terbukti dapat menyelesaikan masalah pengangkutan awam maka kita akan melihat bagaimana untuk meneruskan perkhidmatan ini. Jangan terlalu negatif dulu, kita lihat dulu,” katanya.