PETALING JAYA: Tempoh reman dua pekerja syarikat pemaju, One City Development Sdn Bhd (One City) termasuk penasihat undang-undangnya, disambung tiga hari lagi bagi membantu siasatan insiden kekecohan di kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Putra Heights, Subang Jaya.

Majistret Nor Ariffin Hisham mengeluarkan perintah reman bermula esok sehingga Sabtu ini bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan terhadap kedua-duanya yang tempoh reman mereka akan tamat tengah malam ini.

Selain itu, perintah reman selama empat hari turut dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret terhadap empat lagi individu berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun yang ditahan untuk membantu siasatan kes sama.

Siasatan kes di bawah Kanun Keseksaan itu dilakukan mengikut Seksyen 435 (khianat dengan api), Seksyen 148 (merusuh), Seksyen 427 (melakukan khianat) dan Seksyen 447 (pencerobohan jenayah).

Semalam, kedua-dua wakil syarikat berusia 40-an itu direman bersama 14 suspek lain bagi membantu siasatan berhubung insiden kekecohan di kuil berkenaan.

Insiden kira-kira jam 2 pagi kelmarin itu tercetus apabila puluhan individu berkumpul dan merusuh di kawasan tapak kuil hingga berlaku pergaduhan antara dua kumpulan yang menyebabkan 19 kereta, 16 motosikal dan 11 kenderaan lain terbakar.

Dalam kejadian awal pagi semalam, seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Jabatan Bomba dan Penyelamat, Muhammad Adib Mohd Kassim cedera parah dan terpaksa dikejarkan ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara malam tadi – berita harian