BALIK PULAU: Tempoh perintah reman terhadap suspek kes bunuh seorang wanita yang mayatnya dihumban dalam tangki najis di Jalan Sungai Burung di sini, dilanjutkan selama tujuh hari lagi.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati, berkuat kuasa hingga 9 Oktober depan, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, suspek tiba di Mahkamah Majistret Balik Pulau, di sini, jam 8.40 pagi dengan diiringi anggota polis.

Suspek yang memakai baju ungu dan berseluar jeans biru kelihatan tenang dan hanya tersenyum sebaik melihat beberapa wakil media yang mahu mengambil gambarnya.

Pada 24 September lalu, mayat seorang wanita Faridah Mat Hashim, 63, ditemui disumbat dalam lubang najis rumahnya di Kampung Sungai Burung.

Susulan itu, polis mengesan suspek berusia 29 tahun yang juga anak bongsu mangsa kerana disyaki membunuh mangsa.

Suspek ditahan polis di hadapan Pejabat Kesihatan Daerah Barat Daya di Jalan Air Putih di sini, pada jam 8.45 pagi, sehari selepas kejadian.

Dia kemudian direman selama tujuh hari dan tempoh tahanan remannya itu tamat hari ini.

Menurut sumber, suspek sepanjang tempoh direman dilihat agak kebingungan dan sehingga kini dia masih dalam keadaan separuh sedar.

“Mungkin suspek masih tidak dapat melupakan tabiat menghidu petrol hingga membuatkan dia kelihatan agak bercelaru ketika dalam tahanan.

“Malah, ketika dalam proses siasatan dia juga memberitahu ibunya yang terlebih dahulu mengambil pisau pemotong sayur di dapur dan mengacukan kepadanya,” katanya – beirta harian