Oleh: Nazialita Geynna Maharan

LUMUT: Tempoh reman tiga anggota Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) yang ditahan bagi membantu siasatan kes kematian dua anggota TLDM dalam Bilik Tahanan Unit Sg Wangi, Sitiawan, minggu lepas, dilanjutkan tujuh hari lagi mulai esok (Ahad).

Majistret Ainul Bashiirah Dona Don Biyajid mengeluarkan penyambungan perintah reman terhadap ketiga-tiga lelaki berumur 29, 37 dan 44 tahun itu di Mahkamah Majistret Seri Manjung setelah tempoh reman sebelum ini selama tujuh hari berakhir hari ini.

Ketiga-tiga mereka yang bertugas di bilik tahanan di Unit Komunikasi TLDM Sungai Wangi, Sitiawan, direman mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Anggota TLDM yang memakai baju lokap tiba di pekarangan mahkamah kira-kira pukul 8.50 pagi dengan menaiki trak polis sebelum keluar semula satu jam kemudian.

Minggu lepas, dua anggota TLDM yang berpangkat Laskar Kelas 1 meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru yang berpunca daripada trauma pukulan objek tumpul.

Nik Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, dan Muhammad Lailatulman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia ketika berada dalam bilik tahanan tersebut pada pukul 3.15 petang.

Selain dua anggota TLDM yang maut, dua lagi mangsa berpangkat Laskar Kelas 1 berumur 30 tahun membuat laporan polis pada 1 Oktober lalu, mendakwa dicederakan di pusat tahanan sama dan mereka kini dirawat di bilik khas di Wad Pembedahan Lelaki, 96 Hospital Angkatan Tentera di Lumut.

Susulan itu, dua lagi suspek berumur 29 dan 37 telah disambung reman selama tiga hari lagi mulai hari ini di Mahkamah yang sama selepas tempoh reman selama empat hari sebelum ini, tamat semalam.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 325/506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah dan melakukan ugutan jenayah.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun dilaporkan berkata, polis sudah menahan tujuh orang anggota TLDM yang bertugas sebagai Pengawal Bilik Tahanan, dengan lima berusia 29 hingga 37 tahun disiasat mengikut Seksyen 302.
Manakala, empat anggota termasuk dua yang disiasat mengikut Seksyen 302, disiasat pula mengikut Seksyen 325/506 kanun sama.

Sementara itu, tempoh reman dua lagi suspek kes bunuh tersebut akan tamat esok dan polis juga dijangka memohon lanjutan reman terhadap kedua-dua suspek.

(foto : Bernama)