SHAH ALAM: Tempoh sebulan pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri disifatkan sebagai pencapaian yang amat membanggakan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Menurut beliau, penilaian itu dibuat atas kapasiti Tun Mahathir yang berusia lebih 92 tahun.

“Saya rasa satu pencapaian yang boleh kita banggakan dengan beberapa pendekatan berani dalam pentadbiran beliau.

“Ia turut diikuti beberapa keputusan penting yang dapat dicapai dan janji yang termaktub dalam Manifesto dalam tempoh 100 hari.

“Jadi, menerusi pasukan Kabinet baru yang dipimpin oleh Perdana Menteri, saya yakin sikap jujur dan integriti bersama barisan menteri membolehkan kita pergi jauh,” katanya ditemui selepas Majlis Pelancaran Jualan Jimat Belanja Aidilfitri @ Pasar Tani di Pasar Tani Stadium Shah Alam, Seksyen 13 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, beliau bersama jemaah menteri sedia ada akan menyumbang melalui penjimatan perbelanjaan dalam kementerian masing-masing.

“Bagi saya sendiri dan menteri-menteri lain, kita langsung tidak tukar perabot dan karpet. Ketika memasuki pejabat, ada pegawai memberitahu mahu mengalih posisi perabot namun kita tidak mempunyai masa.

“Kita bermula dengan satu sikap yang kita rasa penting untuk meletakkan sistem nilai masyarakat terhadap menteri-menteri ini supaya mereka benar-benar menepati matlamat Pakatan Harapan (PH) itu sendiri,” katanya.

Beliau turut mengingatkan dirinya supaya tidak akan menerima sebarang bentuk hadiah mahal.

“Hadiah mahal kita tidak perlu. Namun, kalau ada petani nak bagi nanas dan limau walaupun sebiji ketika kita masuk kampung melalui program tertentu, saya rasa kita terima.

“Namun, hadiah yang memakan kos kita tidak akan mengizinkannya,” katanya.

Ketika ditanya pengumuman barisan Kabinet penuh, Salahuddin berkata, ia adalah hak prerogatif Perdana Menteri.

“Mengikut bayangan, ia mungkin diumumkan pada Isnin, Selasa atau Rabu,” katanya – berita harian