KOTA TINGGI: Operasi pembersihan tumpahan minyak di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di sini, dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu.

Pengarah Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor), Dickson Dollah, berkata jangkaan itu bagaimanapun bergantung kepada keadaan cuaca yang baik sepanjang tempoh pembersihan dilaksanakan.

“Berdasarkan keadaan semasa, kami menjangkakan kerja pembersihan sisa tumpahan minyak mengambil masa kira-kira seminggu.

“Bagaimanapun jika cuaca berubah termasuk tumpahan minyak dihanyutkan ke kawasan lebih jauh, operasi mungkin terpaksa dilanjutkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Jabatan Laut Wilayah Selatan menemui tompokan tumpahan kira-kira 300 tan minyak bahan api marin sepanjang kira-kira 10 kilometer di perairan Tanjung Balau dan Batu Layar di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Jabatan itu percaya tumpahan itu berpunca daripada aktiviti pembuangan sisa oleh kapal tangki sejak tiga hari lalu.

Mengulas lanjut, Dickson berkata, selain membersihkan tumpahan, pasukannya turut memberi tumpuan terhadap usaha menghalang tumpahan itu hanyut ke pantai.

Sementara itu, Penolong Pegawai Laut, Jabatan Laut Wilayah Selatan (Johor) Roslee Ibrahim, yang mengetuai operasi, berkata kira-kira 40 guni sisa minyak bahan api marin dikumpulkan menggunakan peralatan ‘absorbent boom’ sehingga malam tadi.

“Minyak itu dikumpulkan di kawasan punca tumpahan seluas 500 hingga 700 meter persegi,” katanya.

Beliau berkata, pemerhatian termasuk menggunakan dron dan satelit tidak menemui tompokan baharu pada hari ini – Berita harian