IPOH: Rutin harian seorang kanak-kanak berusia 4 tahun bermain di halaman rumahnya berakhir dengan tragedi apabila tempurung kepalanya pecah akibat dilanggar sebuah motosikal di Jalan Tok Ketua,Kampung Tengku Hussein Lama, Manjoi di sini pada petang Selasa.

Dalam kejadian itu, Faridah Mohd Fairuz, 4, difahamkan sedang melintas jalan sebelum dilanggar sebuah motosikal yang tidak sempat mengelak.

Bapa saudaranya, Raimee Jahya berkata, anak saudaranya itu sering bermain di kawasan perumahan pada waktu petang namun beliau tidak menyangka nasib malang akan menimpa Faridah pada hari tersebut.

“Tempurung kepala Faridah pecah dan tulang tengkoraknya menusuk bahagian otak akibat impak perlanggaran tersebut.

“Ketika kejadian, penunggang motosikal itu turut menangis dan berasa amat kesal dan orang awam membantu untuk membawa anak saudara saya ke hospital,” katanya ketika dihubungiSuara Perak.

Menurutnya, Faridah kini sedang mendapatkan rawatan dan ditempatkan di Wad 6D, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh bagi pemeriksaan susulan.

 

Raimee berkata, jalan di perkampungan Manjoi itu merupakan jalan utama bagi kebanyakan penduduk setempat dan ianya agak sempit sejak dibangunkan pada tahun 2006.

Harapannya, agar projek yang ditinggalkan sejak 10 tahun lepas dapat diperbaiki dengan segera agar tidak ada lagi kecelakaan seumpama itu berlaku.

“Ibubapa Faridah masih dalam keadaan trauma dan tidak dapat mempercayai apa yang berlaku kepada anak mereka, buat masa ini mereka masih cuba bertenang.

“Saya mengharapkan doa orang ramai agar mendoakan anak saudara saya yang masih kecil ini, supaya cepat sembuh dan moga keadaannya tidak bertambah teruk,” ujarnya sebak.