BINTULU: Nyawa seorang warga emas berakhir pada sebatang pokok selepas kereta dipandunya hilang kawalan lalu merempuh pokok berkenaan di Jalan Tanjung Kidurong, di sini, jam 6.50 petang semalam.

Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata mangsa dikenal pasti sebagai Moh Woon Chai, 56, dari Kampung Lubuk Temiang, Labuan, meninggal dunia di tempat kejadian berikutan parah pada kepala.

Katanya, seorang penumpang wanita warga Indonesia berusia 44 tahun, dipercayai rakan mangsa, parah dan kini dirawat di Hospital Bintulu.

“Hasil siasatan awal mendapati kereta Toyota Corrola dipandu mangsa dari arah pusat bandar berada di laluan lurus sebelum terbabas dan merempuh pokok besar di kiri jalan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Beliau sehubungan itu menasihatkan pengguna jalan raya, khususnya di Jalan Tanjung Kidurong agar sentiasa mengamalkan pemanduan selamat berikutan kawasan terbabit kerap berlaku kemalangan – berita harian