PETALING JAYA: Insiden anak AR Badul, Mejar Mohd Zahir Armaya terkena tembakan ketika demonstrasi latihan pada 4 September lalu diklasifikasikan sebagai kejadian terpencil, kata Tentera Darat Malaysia (TDM).

Dalam satu kenyataan hari ini, Sel Perhubungan Raya Tentera Darat berkata lembaga siasatan yang menyiasat insiden tersebut mendapati ia merupakan kemalangan semasa dalam latihan.

“Pihak ahli lembaga turut mendapati peralatan dan kelengkapan yang digunakan semasa latihan keupayaan tersebut berada dalam keadaan baik,” menurut kenyataan itu.

Zahir, 36, merupakan anggota komando 11 Rejimen Gerak Khas, Kem Sungai Udang di Melaka, meninggal dunia selepas dipercayai tertembak sewaktu gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia (5 Div) dan Briged ke-13 Infantri Malaysia di Lok Kawi, Sabah.

Dia meninggalkan seorang balu dan lima anak berusia lima bulan hingga sembilan tahun.

TDM berkata, pihaknya akan mengambil tindakan tatatertib sewajarnya terhadap individu yang terlibat, sementara prosedur operasi standard (SOP) akan dikemas kini jika perlu.

“Latihan untuk memperkasakan TDM akan diteruskan khususnya bagi meningkatkan keyakinan semua warga TDM terhadap peralatan dan kelengkapan yang sedia ada,” katanya.

Menurut pasukan itu, Zahir sudah disokong untuk dinaikkan ke pangkat lefternan kolonel oleh Majlis Angkatan Tentera Ke-578 (MAT 578) yang bersidang pada 17 September 2019 lalu namun tertakluk kelulusan Yang di-Pertuan Agong.

“TDM sudah menghulurkan bantuan sewajarnya terhadap balu Zahir, Nour Shafinar Harun serta ahli keluarga sejak hari pertama insiden berkenaan berlaku.

“Beliau dan keluarga juga akan terus diberi bantuan dan faedah yang sewajarnya mengikut kelayakan yang ditetapkan di dalam perkhidmatan TDM,” katanya.