PORT DICKSON: Tentera Darat (TD) sudah membuat persediaan rapi bagi menjalankan proses undi awal atau undi pos pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), akan datang.

Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zulkiple Kassim, berkata persediaan itu termasuk memberi latihan dan mengenal pasti kem tentera yang akan dijadikan pusat membuang undi.

Beliau berkata, pihaknya sudah menyenaraikan beberapa kem akan dijadikan pusat pengundian awal seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdasarkan kesesuaian.

“Kita akan memastikan peraturan ditetapkan SPR dipatuhi dan proses itu berjalan lancar. Apa yang penting selepas kita menunaikan tanggungjawab mengundi, rakyat pula akan mengundi dan ketika itu kita perlu bersiap sedia membantu pasukan keselamatan lain jika diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 184/17 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (PUSASDA) di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 1,697 perajurit muda lelaki berjaya menamatkan latihan selama enam bulan merangkumi pembinaan karakter, pengetahuan am ketenteraan, latihan jasmani, pengendalian senjata, kemahiran perang dan pengukuhan kerohanian.

Turut hadir, Timbalan Panglima Tentera Darat, Datuk Seri Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi.

Sementara itu, Zulkiple berkata, TD sentiasa bersiap siaga bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam pada PRU-14.

Beliau berkata, pihaknya sedia membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan lain menghadapi kemungkinan berlaku kekacauan sepanjang proses pilihan raya, terutama ketika tempoh berkempen dan pembuangan undi.

“TD mempunyai kekuatan anggota mencukupi dan kita sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan jika diperlukan. Semangat pegawai dan anggota tentera berada pada tahap 100 peratus untuk memastikan keselamatan negara terjamin,” katanya -berita harian