PETALING JAYA: Tentera darat (TDM) akan menubuhkan lembaga siasatan untuk menentukan punca kematian anak seniman veteran, AR Badul, hari ini.

TDM dalam kenyataan sebentar tadi mengesahkan Mejar Mohd Zahir Armaya maut ketika menyertai demonstrasi keupayaan sempena gimik pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah.

“TDM telah membuat segala urusan pengebumian jenazah dan urusan kebajikan kepada waris mangsa,” katanya sambil memaklumkan latihan demonstrasi keupayaan itu bermula 26 Ogos lalu.

Zahir, 36, yang merupakan anggota komando 11 Rejimen Gerak Khas, Kem Sungai Udang di Melaka, meninggalkan seorang balu dan 5 anak berusia 5 bulan hingga 9 tahun.

Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata, Zahir menghembuskan nafas terakhir di Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu pada 9.20 pagi tadi.

Beliau menggesa semua pihak tidak membuat spekulasi sehingga laporan bedah siasat selesai.

“Saya merakamkan simpati yang mendalam dan mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Saya berharap keluarga Allaharyam tabah menghadapi suasana pilu ini dan kami di Kementerian Pertahanan amat bersimpati dengan pemergiannya.”

Sementara itu, Panglima Tentera Darat, Jeneral Ahmad Hasbullah Mohd Nawawi mengucapkan takziah kepada balu dan keluarga Zahir.

Beliau menerusi kenyataan yang dikeluarkan TDM, menyifatkan Zahir sebagai wira negara dan pemergiannya satu kehilangan buat mereka.

“Semoga keluarga reda dan sabar dengan ujian Allah dan Allahyarham meninggal dunia dalam tugas yang besar pahalanya (syahid).

“TDM sangat menyayangi Allahyarham, namun Allah lebih menyayangi beliau.”