IPOH: Kelahiran bayi pramatang merupakan satu daripada penyebab utama kepada kematian bayi di seluruh dunia dan perkara ini perlu dipandang serius oleh semua pihak.

Isteri kepada Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli berkata, sambutan Hari Bayi Pramatang Sedunia merupakan langkah terbaik untuk menyebarkan maklumat berkaitan masalah itu.

Beliau yang merangkap Yang Dipertua BAIDURI menjelaskan, dianggarkan lima peratus daripada kelahiran adalah pramatang.

“Kelahiran pramatang, yang juga dikenali sebagai kelahiran pramasa atau prematur, berlaku apabila bayi anda dilahirkan sebelum lengkap minggu ke-37 kehamilan.

“Kebanyakan bayi pramatang berkembang dan membesar dengan baik dan mampu mengejar rakan-rakan mereka yang lahir selepas sembilan bulan (fullterm labor) namun mempunyai risiko yang lebih tinggi terhadap masalah selepas kelahiran,” ujarnya.

haribayipramatang 2

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Bayi Pramatang Sedunia di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saripah berkata, bayi pramatang berkembang lebih perlahan berbanding bayi yang dilahirkan cukup tempoh.

Katanya, mereka juga berisiko tinggi terhadap masalah kesihatan jangka panjang termasuk autisme, kurang keupayaan intelek, cerebral palsy, masalah paru-paru, penglihatan dan kehilangan pendengaran.

“Kita perlu bekerjasama untuk pastikan kandungan dan ibu sihat, selain memantau perkembangan sewaktu kehamilan bagi mengurangkan risiko melahirkan bayi pramatang,” katanya.