IPOH: Negeri Perak mempunyai 19 buah intstitusi pengajian tinggi awam (IPTA) setakat ini yang perlu diperkasakan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Dr. Muhammad Amin Zakaria berkata, antara IPTA itu ialah dua cawangan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Seri Iskandar dan Tapah, Universiti Pendidikan Sultan Idris Tanjung Malim, tiga buah iaitu Ungku Omar dan Sultan Azlan Shah dan Bagan Datuk serta 13 kolej komuniti.

“Penubuhan sesebuah IPTA mahupun cawangannya dibuat berdasarkan keperluan strategik negara,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohamad Kamil Shafie (BN-Manong) di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Menurut beliau, penubuhan itu dibuat dengan mengambil kira kemampuan pembiayaan kerajaan dan kepentingan bidang tujahan tertentu terhadap pembangunan sosio-ekonomi negara.

Selain itu, katanya, sumber manusia yang mencukupi serta keperluan sumber tenaga yang diperlukan di dalam pasaran juga diambil kira di dalam penubuhan itu.

“Fokus kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi adalah untuk memperkasakan IPTA sedia ada,” tambah beliau.