IPOH : Kematian pasangan suami isteri yang ditemui rentung dalam kejadian kebakaran di sebuah apartmen Taman Meru Impiana, Jelapang di sini pada Ahad, dipercayai bermotifkan bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner Anuar Othman berkata, hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa mempunyai beberapa kesan tikaman di bahagian badan, dipercayai menggunakan senjata tajam.

Menurutnya, mangsa lelaki mempunyai kesan tikaman di dada manakala isterinya di bahagian rusuk kiri.

Selain itu, katanya, laporan menunjukkan wanita terbabit didapati telah meninggal dunia lebih 24 jam sebelum ditemui rentung.

“Ini kemungkinan selepas isterinya meninggal dunia, suaminya datang untuk buat kebakaran selepas membeli minyak di stesen berhampiran. Rumah ini mempunyai kesan letupan daripada insiden itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan laporan itu, polis menjalankan siasatan semula di lokasi kejadian untuk mengesan senjata yang digunakan.

“Motif sebenar kejadian masih disiasat berikutan daripada keterangan saksi, mereka terdengar pertengkaran. Bagaimanapun, kita akan siasat sama ada ia berpunca daripada kewangan atau lain-lain,” ujarnya.

Anuar berkata, pihaknya akan mendapatkan beberapa saksi lain bagi mendapatkan butir-butir berkaitan.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh.

Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi itu, Kamal Mustafa merupakan warga Mesir dan Kamariah Talib masing-masing berusia 70-an ditemui rentung di ruang tamu dan hadapan bilik air rumah mereka.

Turut ditemui dua tong gas berhampiran dengan mayat mangsa yang dipercayai menjadi punca letupan itu sebelum berlakunya kebakaran.