KUALA TERENGGANU : Sistem penggiliran nombor pendaftaran kenderaan di jalan raya akan dilaksanakan polis Terengganu bermula esok bagi mengurangkan pergerakan kenderaan di negeri ini.

Kenderaan dengan nombor pendaftaran ganjil dibenarkan berada di jalan raya esok, diikuti nombor genap pada Khamis dengan sistem itu berterusan hingga 14 April ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik, berkata langkah itu bertujuan memperketatkan lagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua yang bermula esok dengan pelaksanaannya dijangka dapat mengurangkan 50 peratus jumlah kenderaan di jalan raya termasuk motosikal.

Katanya, hanya kenderaan perkhidmatan penting negara serta mempunyai bukti daripada jabatan atau syarikat mereka bertugas dibenarkan berada di atas jalan raya.

“Bagi kenderaan persendirian pula, kita memperkenalkan Sistem Penggiliran Berasaskan Nombor Pendaftaran Kenderaan berkuat kuasa esok sehingga 14 April ini.

“Angka terakhir nombor pendaftaran akan dijadikan panduan sama ada nombor ganjil atau nombor genap.

“Hanya kenderaan persendirian dengan angka ganjil sahaja dibenarkan untuk bergerak bagi sebarang urusan esok.

“Bagi kenderaan dengan nombor pendaftaran gelap, ia dibenarkan bergerak pada keesokannya iaitu Khamis secara giliran sehingga 14 April,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Roslee berkata, jika ada kenderaan persendirian yang tidak dibenarkan bergerak melalui mana-mana sekatan, pihaknya mengarahkan pemandunya kembali ke rumah masing-masing.

Katanya, pendekatan itu terpaksa dilaksanakan bagi mengehadkan jumlah kenderaan yang masih tinggi di atas jalan raya seolah-olah tidak menghiraukan PKP.