Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: “Saya redha, tapi janganlah hukum kami suami isteri seperti tidak tahu jaga anak,”

Itu luahan Muhammad Redzuan Moktar Ali bapa kepada Aqil Rayyan, 2, yang meninggal dunia semalam setelah kritikal sejak Jumaat lepas.

Aqil merupakan anak bongsu daripada dua beradik yang ditemui lemas di sebuah kolah di kediaman datuknya di Kawasan Perindustrian Ringan Maju, Jelapang 16 Februari.

Muhd Redzuan, ketika dihubungi berkata anak keempatnya itu menghembuskan nafas terakhir pada 12.16 tengahari semalam di pangkuannya disaksikan ahli keluarganya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Aqil pergi di pangkuan saya…saya redha dengan pemergian anak saya ini. Saya membuat keputusan untuk membuka sokongan pernafasannya setelah diberitahu doktor bahawa otaknya telah mencapai kerosakan yang tidak boleh pulih.

“Sebenarnya, saya bercadang untuk melakukannya pada Selasa namun adik-beradik dan saudara-mara merayu kepada saya agar mereka dapat melihat Aqil buat kali terakhir,”ujarnya sebak.

Menurut beliau, jenazah adik Aqil selamat disemadikan bersebelahan dengan pusara abangnya, Aliff Rizqi,4, yang terlebih dahulu menemui ajal pada Jumaat lepas berikutan insiden sama.

Aqil dikebumikan dengan disaksikan oleh sahabat handai dan keluarga Muhd Redzuan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar setelah disembahyangkan di Surau at-Taqwa, Puncak Jelapang Maju semalam (Khamis).

Muhammad Redzuan yang merupakan seorang Sarhan Tentera Udara Malaysia (YUDM) meminta orang ramai supaya tidak mengecamnya dia dan isterinya.

Katanya beliau sedih apabila orang di luar sana menyalahkan dirinya serta isteri malah turut mempersoalkan cara mereka menjaga dua anak kecil itu.

“Sebak, sedih, ada yang tergamak memberi komen seperti “tak pandai jaga anak”, “pandai lahirkan anak saja”, “mak ayah buat apa?”.

“Tak kena batang hidung sendiri, tak tahu….apa perasaan isteri saya yang mengandungkan kedua anak lelaki saya melihat komen sebegitu, sampai hati,”katanya hiba.

Menurutnya, beliau mengenali kedua anaknya yang telah meninggal dunia itu dan itu merupakan kali pertama kedua beradik itu keluar daripada kawasan rumah sebelum terlibat dalam insiden lemas berkenaan.

“Ada orang cuba mengatakan ibu dan ayah saya tidak menjaga mereka, apa perasaan mereka, sedangkan ayah saya baru sahaja selesai menjalani rawatan jantung di Institut Jantung Negara pada Oktober tahun lepas.

“Sewaktu Aqil pergi, iaitu cucu kesayangannya, dia merayu untuk dukung Aqil, menatap wajah anak keempat saya buat kali terakhir, macam itu sekali sayangnya nenek dan datuk mereka,”katanya lagi.

Jelasnya, Aqil dan Aliff dijaga dengan baik oleh kedua ibubapanya sewaktu dia pergi bekerja namun masih ada pihak mempertikaikan perkara tersebut tanpa hati perut.

“Saya tak marah, cuma saya sedih kerana tanpa menyelami perasaan kami, kami malah dipersoal, dicerca apabila kami baru sahaja kehilangan kedua anak kami, saya harap benda ini tidak akan kena pada orang lain,”katanya lagi.

 Dalam insiden Jumaat lepas dua beradik lemas di kolah milik keluarga dekat Jelapang, dengan Aliff maut ditempat kejadian manakala Aqil kritikal.