POLIS menahan seorang nelayan di pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kota Cemerlang, Ayer Keroh di Melaka, kelmarin kerana disyaki mencabul anak perempuannya berusia 12 tahun.

Penahanan terhadap lelaki berusia 60 tahun itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada pegawai JKM pada 19 Julai lalu.

Difahamkan, kejadian berlaku di rumah keluarga mangsa di Telok Mas, dua minggu lalu namun hanya disedari guru sekolah murid terbabit yang kemudiannya membuat aduan kepada JKM.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, mengikut laporan pegawai JKM terbabit, dia menerima panggilan daripada guru wanita dari sebuah sekolah kebangsaan dalam daerah itu memaklumkan murid perempuan berusia 12 tahun dari kelas pendidikan khas dipercayai dicabul bapa kandungnya.

Susulan laporan itu katanya, suspek ditahan di luar pejabat JKM Kota Cemerlang selepas dipanggil jabatan berkenaan untuk memberikan kerjasama.

“Suspek direman tujuh hari bermula semalam.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya ketika dihubungi, hari ini – hmetro