GARA-GARA panik, seorang bapa tergamak melempar anaknya berusia dua tahun yang sedang digendong ketika cuba lari daripada ditahan polis dalam kejadian di Kampung Fajar, Hulu Kelang, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 malam itu, suspek bersama isteri dan anak lelakinya itu pada mulanya duduk di atas motosikal sedang berbual bersama beberapa lelaki lain di hadapan sebuah kuil di situ dalam keadaan yang mencurigakan.

Melihat keadaan itu, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Taman Melawati yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah menghampiri kumpulan itu, namun mereka bertindak melarikan diri.

Suspek bertindak memecut motosikalnya sehingga ke lokasi kejadian bagaimanapun kenderaannya tersekat sebelum mereka terjatuh.

Lelaki itu sempat menarik tangan anaknya yang duduk di raga bakul motosikal lalu menggendongnya sebelum cuba melarikan diri daripada kepungan polis.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, suspek dipercayai panik dikepung polis, bertindak melempar anaknya sejauh kira-kira lima meter ke atas tanah.

Ia mengakibatkan anaknya menggelungsur dan terkena pagar zink serta dawai sebuah rumah setinggan di situ.

“Anggota kita bertindak menyelamatkan kanak-kanak itu yang terbaring dan menangis kesakitan dan pada masa sama, suspek berjaya ditangkap.

“Bagaimanapun isterinya berjaya meloloskan diri dan usaha mengesannya sedang dilakukan,” katanya dalam satu sidang media di Balai Polis Taman Melawati, hari ini.

Beliau berkata, kanak-kanak itu kemudian dibawa balai polis sebelum pemeriksaan mendapati terdapat kesan calar dan lebam pada belakang tubuhnya.

“Kanak-kanak itu kemudian diserahkan kepada warisnya yang dipanggil ke balai polis sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan.

“Keadaannya dilaporkan stabil dan sudah dibenarkan keluar daripada hospital,” katanya.

Tambahnya, pemeriksaan mendapati motosikal Honda EX5 digunakan suspek adalah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah ini pada April lalu selain ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah jenis amphetamine.

“Kita mengesyaki suspek terbabit dalam kegiatan curi motosikal di daerah ini dan kita sedang jalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

“Semakan mendapati suspek mempunyai lima rekod jenayah lampau membabitkan kes dadah termasuk satu rekod dikehendaki,” kata.

Suspek kini direman tiga hari sehingga esok – hmetro