AKU sakit hati lihat dia dan keluarga hidup senang tetapi kehidupan aku sebaliknya.” Itu kata dilontarkan peniaga wanita tatkala dia dirasuk ketika dirawat dipercayai akibat terkena sihir.

Malah, dia turut memberitahu bahawa premisnya diletakkan minyak orang mati dibunuh bertujuan supaya perniagaannya menjadi lingkup.

Difahamkan, wanita berkenaan bukan sahaja terpaksa menanggung derita akibat penyakit misteri itu, malah perniagaan santan yang diusahakannya sejak kira-kira 10 tahun lalu turut terjejas.

Wanita yang hanya ingin dikenali sebagai Liza, 56, berkata, dia langsung tidak menyangka sakit yang ditanggungnya hampir setiap hari itu adalah angkara perasaan dengki dipercayai kenalannya sendiri.

Menurutnya, angkara perbuatan itu, dia bukan sahaja mengalami sakit badan, malah turut mengalami sakit kepala hinggakan terpaksa bergantung kepada ubat penahan sakit.

“Paling ketara, kebelakangan ini apabila tubuh badan menjadi sangat tidak bermaya, hingga tiada perasaan langsung untuk keluar berniaga.

“Selain itu, hubungan dengan anak-anak juga terjejas kerana saya mudah menjadi pemarah hingga hal yang kecil juga boleh menjadi besar,” katanya ketika ditemui Pusat Perubatan Islam Al-Mujahiddin, Bukit Lintang, di Melaka, hari ini.

Liza yang menetap di Terengganu berkata, dia nekad untuk ke Melaka bagi mencari ikhtiar mencuba kaedah rawatan perubatan Islam selepas tidak tahan menanggung derita akibat penyakit misteri itu.

“Sungguh terkilan sekiranya betullah orang yang dimaksudkan itu, apatah lagi hubungan kami cukup baik sehingga kerap meminjamkan wang kepadanya,” katanya.

Sementara itu, pengamal perubatan Islam, Mohd Muzahidin Dollah berkata, jika dulu minyak ditanam di bawah rumah untuk menganiaya mangsa, tetapi kini cukup sekadar mencalit sedikit minyak pada kediaman atau premis mangsa untuk membuatkan mereka menderita.

Katanya, antara kesan kepada mangsa hadapi termasuklah mudah berasa letih, menjadi sangat pelupa, cepat marah serta orang akan membencinya tanpa sebab.

“Proses rawatan perlu dilakukan segera untuk memulihkan kembali semangat mangsa, selain mengelakkan kesan lebih buruk apabila minyak itu sudah sebati dalam diri.

“Penggunaan ilmu hitam itu boleh menjurus seseorang kepada perbuatan syirik dan perlu dijauhi sama sekali,” katanya – hmetro