SUNGAI BESAR: Seorang lelaki tergamak mengugut untuk membunuh ibu sendiri hanya kerana tidak diberikan wang untuk membeli dadah, dalam kejadian di Kampung Baru Nelayan, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Suprintendan Nor Azmi Isa berkata, suspek sebelum itu meminta duit dari ibunya untuk membeli dadah, namun tidak diendahkan wanita berusia 54 tahun itu.

Katanya, ini menyebabkan lelaki berusia 26 tahun itu naik angin dan mengugut untuk membunuh ibunya, selain mengacukan pisau serta sabit bagi menakutkan ahli keluarganya dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu.

“Selepas gagal mendapatkan wang, suspek kemudian bertindak melarikan diri dari rumah dan melepaskan gian di ‘port’ berhampiran.

“Susulan kejadian itu, mangsa mengambil keputusan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam,” katanya pada sidang media di IPD Sabak Bernam, hari ini.

Nor Azmi berkata, mangsa memaklumkan suspek yang juga penagih dadah pernah ditahan membabitkan kes sama dan dibebaskan seminggu lalu.

Katanya, suspek kemudian ditahan di rumahnya pada jam 11.15 pagi hari sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang lelaki warga asing tidak sempat mengedar heroin apabila dicekup polis dalam Ops Tapis di tepi sebuah rumah di Bagan Sungai Besar di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, suspek warga Myanmar berusia 48 tahun itu dilihat dalam keadaan mencurigakan di tepi rumah berkenaan, dipercayai sedang menunggu pelanggan sebelum dicekup sepasukan pegawai dan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sabak Bernam diketuai Inspektor S Ashok Kumar.

Nor Azmi berkata, suspek yang terkejut dengan kehadiran polis tidak sempat melarikan diri sebelum ditahan dan hasil pemeriksaan pada beg silang suspek, polis menemui dua paket plastik lutsinar mengandungi dadah disyaki heroin seberat 20.72 gram yang dianggarkan bernilai RM700.

“Semakan mendapati suspek tidak mempunyai dokumen perjalanan sah dan hasil saringan air kencing lelaki itu didapati turut positif dadah,” katanya.

Nor Azmi berkata, suspek direman selama 13 hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 – Berita harian