PETALING JAYA: Seorang lelaki menerima 25 jahitan pada dagu selepas terkena tali tangsi ketika menunggang motosikal dekat Kampung Kayu Ara, Lebuhraya Sistem Penyuraian Kuala Lumpur Barat Sdn Bhd (SPRINT), di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa yang bekerja sebagai penghantar makanan dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggan berhampiran Glomac Damansara, Jalan Damansara.

Sumber berkata, mangsa terlanggar seutas tali tangsi yang merentang di tengah jalan sebelum mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

“Ketika menunggang motosikal dari arah Persiaran Tropicana menghala ke Glomac Damansara melalui Lebuhraya SPRINT lelaki berkenaan terlanggar seutas tali tangsi sebaik tiba di lokasi

“Tali berkenaan terkena pada dagu dan leher mangsa sebelum terpaksa menerima rawatan di PPUM. Mangsa menerima 25 jahitan pada bahagian luar luka,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pihaknya masih menjalankan siasatan kewujudan tali tangsi berkenaan sama ada ia berunsurkan perbuatan khianat atau sebaliknya.

Hari ini tular di laman Facebook mendakwa seorang penghantar makanan mengalami luka akibat terlanggar tali tangsi.

Dalam satu gambar yang tular memaklumkan penghantar makanan itu masih sedang bertugas dan baru sahaja membuat penghataran di satu lokasi sebelum terkena satu tali tangsi yang merentang di tengah-tengah lebuh raya.

Difahamkan, terdapat kediaman penduduk di sebelah lebuh raya berkenaan.

Sementara itu, majikan pekerja berkenaan yang memuatnaik gambar mengenai kejadian itu enggan mengulas lanjut mengenai kejadian – berita harian