ANGGOTA Angkatan Pertahanan Awam (APM) mengambil masa lebih tiga jam untuk menyelamatkan anjing yang terjatuh ke dalam longkang di rumah di Jalan Setia 4, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 12 tengah hari itu, pemilik rumah terbabit berusia 40-an menyedari anjing miliknya tiada di perkarangan kediamannya sebelum terdengar bunyi dengusan haiwan berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam APM Mohamad Shazree Mustapha berkata, bunyi dengusan terbabit membantu pemilik rumah berkenaan mengesan lokasi anjing berkenaan yang dipercayai jatuh ke dalam longkang yang terletak di bawah tanah kediaman itu.

“Kami menerima panggilan kecemasan daripada pemilik anjing itu pada 12.04 tengah hari sebelum empat anggota dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, kami mendapati anjing berkenaan terjatuh ke dalam longkang sedalam kurang satu meter.

“Kami berdepan kesukaran untuk mengeluarkan anjing berkenaan kerana ruang longkang yang sempit dan terletak di bawah tanah rumah berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohamad Shazree berkata, pihaknya terpaksa menebuk lubang dari luar rumah berkenaan untuk mengeluarkan anjing terbabit selepas cubaan mengeluarkan haiwan itu lebih satu jam menggunakan pelbagai peralatan gagal.

“Kami terpaksa menebuk lubang yang dianggarkan sebesar saiz bola sepak. Jarak antara lubang yang ditebuk dengan lokasi anjing terbabit sejauh dua meter.

“Dianggarkan lebih satu jam masa diambil sebelum anjing berkenaan berjaya dibawa keluar,” katanya – hmetro