Oleh:Nazialita Geynna Maharan

TAMBUN: Kisah ketabahan seorang isteri Ellikaningsi Saprawi yang setia menjaga suami terlantar sakit di samping mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga menyara tiga kecilnya mendapat perhatian orang ramai yang prihatin dengan keadaan keluarga ini.

Sejak kisahnya dipaparkan dua hari lalu, Suara Perak mendapat pelbagai maklum balas daripada masyarakat Malaysia yang begitu terkesan dengan kesusahan hidup yang dilalui ibu kepada tiga anak yang masih kecil ini.

Antara yang memberi tindakan awal adalah wakil rakyat kepada keluarga ini iaitu ADUN Hulu Kinta, Datuk Aminuddin Hanafiah yang bergegas membuat lawatan ke kediaman keluarga ini di Kampung Rizab Melayu.

Lawatan wakil rakyat ini disambut dengan penuh senyuman oleh Ellikaningsi, 23, yang lebih mesra dikenali sebagai Saodah.

Aminuddin berkata, kesusahan Saodah sudahpun dalam tindakan pejabatnya sebelum ini dan telah melawat keluarga ini beberapa kali.

ini bukanlah kali pertama beliau hadir dan memberi bantuan serta memahami keperitan hidup mereka lima beranak namun tidak menyangka keadaan suaminya telah menjadi lebih teruk.

“Saya dan beberapa pegawai ada melawat Saodah pada tahun lepas untuk melihat keadaan keluarga ini serta menghulurkan sumbangan. Ketika itu keadaan Faizal, suaminya tidak begitu teruk dan kesihatan beliau masih di tahap baik,”katanya.

Jelas beliau, keluarga tersebut sentiasa berada dalam perhatian pihaknya dan turut menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Baitulmal berjumlah RM600.

Beliau melahirkan rasa kagum dengan semangat Saodah yang gigih mencari sumber pendapatan sampingan bagi menampung perbelanjaan keluarganya.

“Dia tidak seperti sesetengah orang yang tunggu bantuan tetapi berusaha keras untuk cari pendapatan sendiri. Dia tahu dengan kemampuan dia sebagai insan muda yang masih mempunyai kudrat, dia ambil peluang jual bakso dari rumah ke rumah, mengambil upah membuat biskut,ini bermakna dia tidak mengambil kesempatan.

“Kami akan usahakan sebaik mungkin, melalui perbincangan teliti samada kita boleh bekalkan peralatan memasak bakso atau kiosk perniagaan YBU kepada adik Saodah berdasarkan keperluan beliau,” katanya kepada Suara Perak.

Pada kunjungan itu, Aminuddin turut menyerahkan sumbangan kotak makanan kepada keluarga lima beranak itu.

Saodah berkata beliau begitu menghargai usaha dan keprihatinan orang ramai yang tidak henti-henti menghubunginya sebaik sahaja mendapat tahu mengenai kisahnya yang disiarkan baru-baru ini.

“Bayaran sewa rumah, bil elektrik dan air, pengangkutan dan makan minum anak-anak menelan belanja sekitar RM500 sebulan, selebihnya saya usahakan untuk membeli sebarang keperluan lain.

“Saya amat bersyukur ada insan-insan berhati mulia baik daripada agensi, Jabatan kerajaan, badan bukan kerajaan dan individu persendirian ada yang menghubungi saya untuk menghulurkan bantuan kepada kami sekeluarga,”katanya lagi.

Jelasnya, beliau amat berterima kasih dengan ADUN Hulu Kinta yang sentiasa prihatin dan mengambil berat dengan masyarakat di kawasannya.

Menurutnya Aminuddin merupakan antara contoh wakil rakyat yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat kerana tidak pernah gagal memastikan golongan yang memerlukan mendapat perhatian sewajarnya.

“Sejak cerita saya dipaparkan, telefon saya didatangi pelbagai pesanan ringkas, ramai yang ingin menghulur bantuan tidak kurang yang mendoakan, saya hanya mampu berterima kasih dan mengharapkan Syawal yang bakal menjelma kami sekeluarga dapat bersama dan bergembira dengan segala bantuan yang diberikan orang ramai,”katanya lagi.