IPOH– Tanggungjawab Perak sebagai tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 berakhir apabila secara rasminya sukan berprestij itu melabuhkan tirainya di Stadium Perak pada Sabtu malam.

Lebih 25,000 pengunjung membanjiri stadium untuk menyaksikan Majlis Perasmian Penutup SUKMA ke-19 yang diraikan dengan pelbagai acara dan persembahan menarik, khusus untuk memberi penghargaan kepada kontinjen dan pihak yang mengambil bahagian.

Majlis penutup disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wsn Aizizah Wan Ismail, bersama-sama Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Majlis dimulakan dengan perbarisan lintas hormat kontinjen disusuli penyampaian anugerah Persatuan Penulis Sukan Malaysia (SAM), penyampaian Anugerah Atlet Terbaik Lelaki dan Wanita serta Juara Keseluruhan SUKMA ke-19.

Juara keseluruhan SUKMA dimenangi oleh kontinjen dari Terengganu dengan pungutan pingat sebanyak 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa dengan jumlah keseluruhan 160.

Atlet Wanita Terbaik dimenangi oleh Azreen Nabila Alias, 18, dari Terengganu dengan memperoleh tiga emas bagi acara olahraga 100 meter, 200 meter dan 4×100 meter.

Beliau turut mencatat rekod SUKMA dengan catatan masa 11.81 saat yang sebelum ini dipegang oleh Siti Fatima Mohamad dari Johor.

Selain itu, ini merupakan penyertaan kali ketiganya bagi SUKMA di Perlis, Sarawak dan Perak.

Manakala Atlet Lelaki Terbaik dimenangi oleh Eugenius Lo Foh Soon,17, dari Sabah dengan memperoleh tiga emas dan satu perak.

Masing-masing bagi kategori memanah 70 meter compound individu, 50 meter compound individu, 30 meter compound individu dan compound berpasukan.

Upacara menurunkan bendera dan pemadaman obor SUKMA diteruskan sebagai simbolik berakhirnya SUKMA XIX.

Benderan kemudiannya diserahkan kepada delegasi negeri Johor yang bakal menjadi tuan rumah bagi SUKMA ke-20 pada tahun 2020.

Di kemuncak majlis, stadium dilimpahi dengan cahaya pertunjukan bunga api serta persembahan kebudayaan tuan rumah SUKMA ke-20, selain kemunculan artis jemputan iaitu Jamal Abdilah dan Awie.