KUALA KANGSAR – Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menzahirkan ucapan terima kasih kepada kesemua warga di negeri perak ini atas sokongan serta dokongan yang diberikan kepada kerajaan negeri sepanjang lima tahun lalu.

Beliau yang mewakili kerajaan negeri, barisan exco kerajaan negeri dan wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) Perak turut memohon maaf sekiranya terdapat kekurangan dan kelemahan sepanjang pentadbirannya.

“Kami berdiri di sini bukan atas keangkuhan tetapi kami berdiri atas sifat rendah diri bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Tentunya ada kelebihan dan ada kelemahan serta kekurangna oleh demikian saya mewakili rakan-rakan dengan rendah hati memohon ampun dan maaf atas kekurangna yang dialukan.

“Saya juga manusia biasa mungkin tidak terlepas dari kekurangan itu, kami berjanji akan kita betulkan segala kemelahan-kelemahan bagi memberi perkhidmatan terbaik untuk rakyat,” katanya pada sidang media khas selepas isitiadat pembubaran DUN Perak ke-13 yang disempurnakan oleh Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah di sini pada Isnin.

Pengerusi BN Perak itu juga memberitahu, pihaknya akan melancarkan manifesto BN peringkat negeri dalam tempoh terdekat.

“Manifesto kita tidak akan tersimpang daripada apa yang digagaskan di peringkat pusat tapi dalam masa sama kita akan berikan manifesto berkaitan dalam konteks negeri Perak mencakupi semua perkara.

“Ia termasuk berkaitan kebajikan rakyat, hal-hal pertumbuhan ekonomi negeri dan sebagainya demi anjakan masa depan negeri ini, kita akan lancarkannya pada satu masa yang sesuai tidak lama lagi,”

Mengenai senarai calon-calon BN pula, Dr Zambry memberitahu beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak di ibu negara pada esok bagi membuat persiapan akhir.

“Calon-calon telah dikenal pasti dan saya akan mengadakan perbincangan peringkat akhir dengan pengerusi (Najib), keputusannya telah ada cuma perlukan perincian tertentu di peringkat pusat sebelum ia dimuktamadkan,” ulas beliau.