MANJUNG– Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir meraikan lebih 1,000 anggota RELA di Majlis Pemimpin Bersama Rela Daerah Manjung yang berlangsung di Dewan Kampung Dato’ Seri Kamaruddin malam tadi.

Dr. Zambry yang juga selaku Timbalan Ketua Pesuruhjaya Kehormat Rela, hadir bagi memberi sokongan dan menzahirkan penghargaan buat anggota RELA, yang banyak menyumbangkan masa dan tenaga dalam setiap program.

“Semangat RELA merentasi umur, kaum dan bangsa, Rela disukai dan diminati oleh sekalian rakyat Malaysia. Kalau kita lihat bagaimana anda secara sukarela di setiap kawasan, taman dan mukim menubuhkan pasukan Rela.

“Saya lihat pasukan ini aktif sekali, ramai di antara anggota Rela ini di dalam setiap program menjalankan bersama-bersama dan membantu anggota keselamatan untuk pastikan kelancaran lalu lintas dan sebagainya,” ujar Dr. Zambry.

Dr. Zambry berkata demikian ketika berucap kepada anggota Rela di majlis tersebut, hadir sama calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Datin Seri Saripah Zulkifli.

Dalam majlis itu, Dr. Zambry meluangkan masa dengan beramah mesra bersama anggota Rela yang hadir, di samping berkongsi pandangan tentang keadaan semasa bilangan anggota Rela di Parlimen Lumut dan Beruas.