KEMENTERIAN Kewangan merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi

terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V, kerana perkenan memotong 10 peratus gaji serta emolumen sepanjang pemerintahan baginda, semalam.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, sumbangan baginda dapat bantu mengurangkan hutang Kerajaan Persekutuan.

“Dalam kepincangan negara dirundung beban hutang Kerajaan Persekutuan

RM1,087 bilion, patik menjunjung kasih titah Baginda Tuanku dan percaya limpah

kurnia serta keprihatinan Baginda Tuanku ini disanjung tinggi rakyat jelata.

“Dengan perkenan Baginda Tuanku ini, ia sekaligus menyuntik semangat patik serta

rakyat marhaen dalam bersungguh-sungguh mengurangkan beban hutang Kerajaan

Persekutuan,” katanya dalam satu kenyataan di Putrajaya, hari ini.

Sultan Muhammad V memperkenankan supaya peruntukan gaji dan emolumen baginda dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang pemerintahannya sehingga 2021.

Dalam satu kenyataan semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz berkata, pengurangan itu dizahirkan berikutan Sultan Muhammad prihatin terhadap tahap hutang dan keadaan ekonomi negara – hmetro