BUTTERWORTH: Seorang pekerja kontrak yang sedang menjalankan kerja-kerja mengecat di kawasan Pangkalan Kargo Prai di sini dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam laut pada Khamis.

Komander Operasi Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pulau Pinang, Ismail Ibrahim berkata, mangsa Mohd Khairul Azhar Mat Arik, 29, dipercayai terjatuh ke dalam laut dari atas jambatan yang menghubungkan antara kapal kargo ke darat semasa kerja-kerja mengecat di kawasan tersebut.

“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.37 tengah hari memaklumkan kejadian itu dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian kira-kira lapan minit kemudian. Sampai di lokasi saksi memaklumkan mangsa terjatuh ketika kerja mengecat dijalankan dan keadaan air pada masa itu bergelora dan berarus kuat,” katanya di sini.

Beliau berkata pihak bomba membuat ‘size up’ di lokasi kejadian dan menjalankan operasi mencari serta menyelamat mangsa dijalankan dengan bantuan polis, pasukan bomba Penang Port dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Ismail berkata pihaknya turut membuat pencarian dengan menyelam di kawasan mangsa dipercayai terjatuh.

“Sehingga pukul 7 malam (Khamis), mayat mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dihentikan pukul 8 malam kerana cuaca semakin gelap sebelum ia disambung semula kira-kira pukul 9 pagi Jumaat,” katanya.

Sementara itu, seorang rakan mangsa dikenali sebagai Rozali, 30-an, berkata semasa kejadian dia berada tidak jauh dari mangsa sebelum tiba-tiba ternampak rakannya terjatuh ke dalam laut.

“Mangsa mungkin hilang imbangan badan sebelum dia terjatuh, kami cuba membantu tetapi dia terus tenggelam dibawa ombak,” katanya.

— Bernama