KOTA KINABALU: Terjun ke laut selain cuba lari menerusi bumbung rumah.

Itu antara tindakan nekad pendatang asing tanpa izin (PATI) bagi mengelak ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Imigresen sempena Ops Mega di sini, tengah malam tadi.

Serbuan yang bermula pada jam 12.30 tengah malam itu menyebabkan ada PATI sanggup terjun dari tingkap rumah serta bersembunyi bawah tilam semata-mata mengelak dicekup.

Bagaimanapun, atas kecekapan anggota bertugas, semua PATI lelaki berusia 20-an hingga 30-an itu dapat ditangkap.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata sepanjang operasi itu pihaknya memeriksa 640 orang dan menangkap 58 individu di dua lokasi kerana tiada dokumen pengenalan diri.

Kesemua PATI yang ditahan adalah warganegara Filipina.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa komited dalam mengatasi masalah PATI yang sering dikaitkan dengan Sabah.

“Keseluruhannya 1,010 operasi dijalankan di negeri ini dengan 3,309 PATI ditangkap sepanjang tahun ini,” katanya kepada media selepas Ops Mega di sekitar bandar raya ini yang turut disertai Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman.

Operasi selama tiga jam setengah itu dijalankan di kawasan setinggan Kampung Gentisan di Sepanggar dan Kampung Baru Tanjung Aru Fasa 1 di sini.

Dalam pada itu, Mustafar turut meminta majikan di negeri ini agar tidak menggaji pekerja asing sewenang-wenangnya.

“Kita tahu negara memerlukan pekerja asing tetapi bukan secara tanpa izin. Majikan perlu bertanggungjawab dan tidak mengambil jalan mudah,” katanya – berita harian