MAYAT dalam keadaan rentung dipercayai mangsa bunuh, ditemui di kebun kelapa sawit di Kampung Baru, Sitiawan, hari ini.

Mayat yang belum dikenal pasti identitinya itu ditemui pemilik kebun kelapa sawit berkenaan kira-kira 9 pagi sebelum melaporkan penemuan itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan itu pada 11 pagi tadi.

Beliau berkata, mayat berkenaan ditemui dalam keadaan telentang dengan kesan terbakar antara 85 hingga 90 peratus, namun jantina serta identiti mangsa belum dikenal pasti.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mayat itu adalah mangsa bunuh dan siasatan masih dijalankan sama ada mangsa dibunuh di lokasi itu atau sebaliknya.

“Setakat ini jantina dan identiti mangsa masih belum dikenal pasti dan polis juga akan menyemak jika ada laporan membabitkan orang hilang.

“Kami tidak menemui apa-apa bahan bukti di lokasi kejadian yang boleh dikaitkan dengan penemuan mayat mangsa buat masa ini, begitu pun siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Sementara itu, pemilik kebun berkenaan Wong Keng Suew, 48, berkata, sebaik tiba di kebunnya, dia terkejut melihat mayat itu sebelum berlari keluar untuk meminta bantuan.

“Saya lihat mayat itu sudah terbakar dan ada sedikit asap pada bahagian kepala mangsa yang membuatkan saya terkejut dan takut.

“Tanpa berlengah saya segera keluar untuk meminta bantuan sebelum ke Balai Polis Seri Manjung melaporkan perkara itu,” katanya – hmetro